Allahyarham Tan Sri Profesor Hamzah Sendut

Allahyarham Tan Sri Profesor Hamzah Sendut
Naib Canselor Pertama Universiti Sains Malaysia


Allahyarham Tan Sri dilahirkan di Johol, Negeri Sembilan pada 9 Mac 1927. Memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Nuri sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah King George V (KGV), Seremban. Pelajaran beliau diteruskan di Nippon Kyoku Gakko, Negeri Sembilan ketika Perang Dunia ke 2. Kemudian beliau menyambung kembali pelajaran di KGV dan muncul sebagai pelajar terbaik negeri ketika menduduki School Certificate Examinations pada 1948.

Pada tahun 1950, beliau terpilih memasuki Malay College Kuala Kangsar (MCKK) seterusnya memperolehi Bachelor of Arts and Honours in Geography daripada Universiti Malaya. Kemudian beliau memperolehi Masters in Civil Design daripada University of Liverpool pada 1957 dan dianugerahkan Honorary Doctorate of Letters and Literature oleh Universiti Kyung Hee, Korea pada 1970.

Beliau pernah menjadi Pensyarah dan Dekan di Universiti Malaya dan Pensyarah Pelawat di Universiti Chicago. Ketika di luar negara, beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Pembangunan Bandar-bandar Asia di ibu pejabat PBB di New York pada 1966-1969, Pengarah Pembangunan Kampung Bank Dunia dan Pengerusi WWF.

Beliau terlibat di dalam jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Hakim Mohd. Suffian bagi membentuk Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1969 dan Draf Perlembagaan Universiti Kebangsaan Kedua pada 1970

Allahyarham Tan Sri merupakan antara pengasas penting Universiti Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Universiti Sains Malaysia (USM). Kemudian beliau dilantik sebagai Naib Canselor pertama USM.

Antara legasi yang beliau pahat di USM ialah penubuhan Matriculation Studies Unit, Pusat Islam, Masjid Universiti, Kompleks Kolam Renang, National Drug Research Centre dan Kampus USM Kubang Kerian, Kelantan. Malah, sebuah perpustakaan canggih di USM telah dinamakan dengan nama beliau iaitu Perpustakaan Hamzah Sendut.

Beliau mula menceburi bidang korporat pada Disember 1976 dengan menjadi Pengarah Eksekutif ICI (Malaysia) Group of Companies dan Tasek Cement Berhad.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Weenee Hamzah dan mempunyai dua anak iaitu Alan dan Dr Iean Hamzah.

Beliau pulang ke rahmatullah pada November 1996 ketika berusia 69 tahun.

Catat Ulasan

0 Ulasan