SK Nuri Juara Hafazan MTAQ Kuala Pilah 2017

SK Nuri juara hafazan MTAQ empat tahun berturut-turut


KUALA PILAH – Sekolah Kebangsaan (SK) Nuri mengungguli Majlis Tilawah Al-Quran (MTAQ) peringkat daerah bagi kategori hafazan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Muhammad, di sini.

Ketua Panitia Pendidikan Islam SK Nuri, Adibah Daud berkata, anak didiknya, Mohd Adam Radzi, 12, menang tempat pertama bagi hafazan lelaki, manakala Nur Alya Qatruunnada M Noor Hisyam, 11, hafazan perempuan

Menurutnya, kejayaan itu semakin menjulang nama SK Nuri kerana berjaya mengekalkan kemenangan kali keempat berturut-turut sejak 2013.

“Untuk mengekalkan kemenangan ini bukan perkara mudah kerana kita perlu sentiasa konsisten dan komited setiap tahun dalam memastikan kejuaraan berpihak kepada sekolah ini.

“Tiada rahsia di sebalik kejayaan ini, namun saya melakukan persediaan awal setiap tahun. Bukan masa hendak bertanding baru hendak menghafaz tetapi telah mulakan dari awal dengan menyemak bacaan murid, di samping membetulkan bacaan tajwidnya, fasohah dan perkara berkaitan,” katanya.

Adibah berkata, dia mula mengasah bakat Mohd Adam seawal usia 9 tahun dan Nur Alya ketika umurnya 8 tahun.

Menurutnya, johan kedua-dua kategori itu akan mewakili daerah ke peringkat negeri pada 22 April ini di SMK Intan Perdana Port Dickson.

“Pihak sekolah berharap wakil Kuala Pilah ini akan menjadi johan peringkat negeri yang mana wakil hafazan lelaki iaitu Mohd Adam pernah mendapat naib johan pada 2016.

“Kami mahukan tahun ini, sekolah dan Mohd Adam mencatat sejarah memenangi kategori ini sekali gus mewakili ke peringkat kebangsaan. Insya-ALLAH jika ada rezeki, kami berharap kejayaan berpihak kepada sekolah,” katanya.

Adibah turut mengucapkan terima kasih kepada Guru Besar SK Nuri, Zahari Bahaman kerana sentiasa memberi sokongan jitu dalam memastikan sekolah mencapai kejayaan.


Sumber : Sinar Harian dan gpsbestari.com


Catat Ulasan

0 Ulasan