Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak 1430H / 2009M

Warga Guru SK Nuri mengucapkan Selamat Menyambut 1 Ramadhan 1430H / 2009M kepada semua murid SK Nuri, PIBG, ibu bapa, masyarakat setempat dan seterusnya seluruh warga Malaysia yang beragama Islam. Umat Islam di Malaysia akan mula mengerjakan ibadah puasa bermula hari Sabtu, 22 Ogos 2009.

Sama-samalah kita mengerjakan rukun Islam keempat ini dengan penuh keikhlasan. Semoga puasa kita pada tahun ini diterima dan diberkati oleh Allah jua.

Antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadhan ialah turunnya Al-Quran pada 17 Ramadhan dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Bulan Ramadhan juga ialah satu-satunya bulan Islam yang disebutkan di dalam Al-Quran. Sudah pasti keistimewaannya bersangkut-paut dengan kemuliaan Al-Quran sebagai mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang diturunkan pada bulan tersebut.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

”Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...”

Surah Al-Baqarah, ayat 185


Fadhilat Ramadhan

"Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satupun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satupun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, 'Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam."

HR Tirmizi, Kitab as-Saum, Bab Ma Ja' Fi Fadl Shahr Ramadhan, No. 618. Dihukum sahih.

Catat Ulasan

0 Ulasan