Sejarah SK Nuri

Mengikut sejarah, tapak asal sekolah ini terletak di Parit iaitu antara Kampung Nerusa dan Nuri. Didirikan pada tahun 1903 atas usaha dan inisiatif Datuk Menteri dan Datuk Gempa dengan bilangan murid seramai 30 orang. Bangunan sekolah pada ketika itu merupakan sebuah pondok berukuran 20’ x 20’ , berdinding pelupuh, beratap rumbia dan berlantaikan pasir.


Pada tahun 1907, sekolah ini telah dipindahkan ke Nuri kerana pertambahan bilangan penduduk di sekitar Air Mawang. Sebuah bangunan papan dengan ukuran 15’ x 30’ telah didirikan dan dinamakan Sekolah Melayu Nuri.


Pada tahun 1930 bangunan tambahan telah dibina menjadikan sekolah berbentuk ‘L’. Pada tahun 1949 sebuah lagi bangunan tambahan didirikan oleh penduduk kampung.


Pada tahun 1952, dua buah bangunan tambahan telah didirikan oleh kerajaan Negeri Sembilan dan adat istiadat pembukaan telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Dato’ Undang Abdul Manap.


Pada tahun 1958 nama sekolah telah ditukar kepada Sekolah Umum Nuri. Setahun kemudian dipinda lagi kepada Sekolah Kebangsaan Nuri hingga ke hari ini.


Pada tahun 1975 sebuah bangunan baru setingkat telah dibina oleh kerajaan negeri bagi menampung bilangan murid yang kian bertambah.


Pada tahun 2002, kerajaan telah membina dua buah bangunan dua tingkat di padang sekolah untuk memberi keselesaan kepada warga sekolah. Bangunan ini menyediakan ruang dan kemudahan bilik-bilik seperti Pusat Sumber, Kemahiran Hidup, Makmal Sains, Bilik Kesihatan, Bilik Muzik, SPBT, Pejabat, Bilik Guru, Dewan, Surau dan Bilik Wuduk

Catat Ulasan

0 Ulasan