Selamat Maju Jaya Pn. Azizah dan En. Mohd Nasir...

Tanggal 16 September 2009 merupakan tarikh yang menggembirakan warga Malaysia kerana tarikh tersebut merupakan Hari Penubuhan Malaysia, tetapi bagi kami warga SK Nuri, tarikh tersebut merupakan tarikh yang mengundang perasaan sedih dan pilu. Pada tarikh tersebut, Guru Besar, Pn Azizah binti Ab. Manan akan berpindah ke SK Tampin manakala GPK Kokurikulum, En. Mohd Nasir b. Haji Mustafa pula berpindah ke SK Undang Johol.

Pn. Azizah bt. Ab. Manan mula bertugas sebagai Guru Besar SK Nuri sekitar tahun 2003 setelah berpindah dari SK Undang Johol. Sepanjang berkhidmat di SK Nuri terlalu banyak pencapaian cemerlang yang berjaya dirangkul oleh warga SK Nuri dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Beliau berjaya mengharumkan nama SK Nuri sehingga dikenali di peringkat PPD Kuala Pilah, Peringkat Negeri dan juga peringkat Kebangsaan dengan pelbagai program yang telah dijalankan antaranya Program 3k, Program Lestari dan sebagainya. Sebagai seorang Guru Besar Cemerlang, beliau sentiasa menggalakkan guru-guru supaya bersikap profesional dalam tugas masing-masing dan mencapai kecemerlangan di dalam segala bidang yang diceburi.

Begitu juga dengan GPK Kokurikulum, En. Mohd Nasir bin Haji Mustafa, sepanjang beliau berkhidmat di SK Nuri semenjak tahun 2007, beliau telah berusaha meningkatkan prestasi Kokurikulum SK Nuri supaya setanding dengan sekolah-sekolah lain di Negeri Sembilan. Saya yakin usaha ini akan diteruskan pengganti beliau kelak.

Kami warga SK Nuri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pn. Azizah dan En. Mohd Nasir di atas segala sumbangan dan tunjuk ajar yang telah dicurahkan sepanjang mereka berada di SK Nuri. Kami akan berganding bahu untuk mencapai Visi sekolah iaitu "SK Nuri Unggul Pada Tahun 2011". Sekiranya terdapat salah dan silap kami sepanjang berada di bawah kendalian mereka berdua diharap dapat maafkan. Kami mendoakan semoga mereka berdua terus berjaya di mana sahaja mereka berada.

Terima Kasih dan Selamat Maju Jaya kepada Pn. Azizah dan En. Mohd Nasir.

Catat Ulasan

0 Ulasan